Sunday 14 April 2013

KEBAHAGIAAN NURANI

Assalamualaikum,untuk kali ini,penulis merasakan penulis berhak untuk meluahkan apa yang tersirat di hati penulis.Penulis dahulukan dengan segala pujian dan kesyukuran untuk-Mu Ilahi atas segala nikmat,ujian,tohmahan yang membuatkan diri penulis akan berpaut pada tali-Mu.Hal ini adalah kerana apabila manusia ditimpa musibah,terdetiklah di hatinya bahawa ALLAH itu Maha Berkuasa.Selawat dan salam ditujukan buat Penghulu segala nabi,Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai tanda kasih dan sayang umatnya dan sebagai mengenangkan hasil perjuangan baginda menegakkan Islam.
Apabila menghitung hari,bulan dan tahun,umur kita kian menginjak dewasa dan kita mungkin mengimbau kembali zaman persekolahan yang merupakan titik mula kita terlibat dalam dunia pendidikan.Penulis bukanlah menafikan institusi kekeluargaan sebagai platform utama mengenal dunia dan hakikat kehidupan,tetapi secara rasminya kita mengenal huruf-huruf abjad adalah semenjak kita berada dalam alam persekolahan.
Menceritakan tentang pengalaman penulis,penulis masih ingat bagaimana ayah penulis tegas dalam membentuk anaknya.Pada ketika itu,terdetik di hati penulis adakah aku ini tak dikasihi memandangkan walau penulis kurang sihat,ayah sentiasa menggalakkan penulis untuk pergi ke sekolah.Ayah juga selalu berpesan kepada penulis,hidup ini penuh dengan cubaan,Pernah pada suatu ketika,ayah menghantar penulis dengan motornya dan tanpa dijangka,motor itu mengalami kerosakan di pertengahan jalan,jam pun menunjukkan bermula sudah sesi persekolahan pada pagi itu,ayah tetap berkeras menyuruh penulis ke sekolah.Ayah tetap menghantar penulis sampai ke sekolah lalu memohon maaf kepada guru atas kelewatan.Dulu,penulis merasakan bilamana penulis membuat permintaan kepada ibu bapa,hasrat penulis tidak dipenuhi.Penulis melihat rakan-rakan yang hasrat mereka sentiasa ditunaikan oleh kedua ibu bapa mereka,melihat hidup mereka yang rata-ratanya hidup tanpa dihimpit kesempitan sedangkan penulis lupa pada insan yang kurang bernasib baik di luar sana,lupa pada Yang Esa yang memberikan nikmat kesihatan dan kebahagiaan nurani,lupa pada nikmat Iman dan Islam.Ayah,aku bangga mempunyai ayah sepertimu,walau kamu tidak menerima pendidikan agama di sekolah,kamu ada kesedaran menghantar anak-anakmu ke sekolah aliran agama. Hidupmu terpaksa membanting tulang untuk menyekolahkan anakmu,memarahi dan memberikan hukuman dalam bentuk rotan,tamparan atas tanda kasih bukan tanda benci.Hal ini mungkin cara didikan kamu.Jiwa anak kecil sentiasa tersalah tafsir dan memberontak tetapi itu sebenarnya akan membentuk anak kecil itu tabah dan sabar dalam menghadapi hidup ini.Ya Allah,hamba bersyukur atas kurniaan ini,punyai ibu bapa yang menyedarkan anaknya akan kebahagiaan diri dan hidup sederhana itu lebih penting daripada kebahagiaan material.