Sunday 23 November 2008

العلماء ورثة الأنبياء -Ulama Pewaris Nabi

Ulama pewaris nabi perlu berani memperkasakan Islam
Oleh Che Hashim Che Mat

ULAMA berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ilmuwan. Penggunaan perkataan ulama dalam bahasa Melayu berasal daripada al-Ulama yang bermaksud ilmuwan dalam agama.

Ulama merujuk ahli ilmu syariat dan asas seperti tafsir al-Quran, hadis dan fiqh. Perkataan ulama digunakan berserta perkataan lain seperti al-Falak (ahli falak) ulama al-Tib (pakar perubatan), al-Zira’ah (pakar pertanian).

Perkataan ‘al’ dalam al-ulama ialah kata pasti (ma'rifah) khusus kepada orang berilmu dalam agama yang ditinggalkan Nabi SAW seperti firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dikalangan hamba-Nya ialah ulama.” (Surah al-Fatir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Allah mengangkat orang beriman dan orang berilmu dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Allah jelas menggambarkan kedudukan orang beriman dan berilmu iaitu beriman dengan apa yang diketahuinya dan melahirkan rasa takut kepada Allah.

Bagi yang berilmu selain ilmu ditinggalkan Rasul seperti astronomi, ahli perubatan, pakar komputer, tidak boleh dipanggil ulama.

Keadaan ini jelas dalam hadis bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan ulama di muka bumi laksana bintang di langit yang menjadi pedoman dalam kegelapan di darat dan di laut. Apabila bintang gelap hampirlah petunjuk itu sesat.”
Berlandaskan huraian ini, penghormatan amat tinggi dan mulia diberikan Allah kepada ulama kerana berat tugas memimpin manusia dalam kehidupan Islam dan mereka terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan serta penderitaan ketika melaksanakan tugas.

Ulama ialah orang yang mewarisi ilmu agama. Mereka mendalami agama dan mengetahui al-Quran serta tafsirnya, hadis dan mustalah, hadis dan uslub bahasa Arab serta memahami kaedah usul fiqh. Mereka mempelajari sejarah dan ilmu membolehkannya memahami al-Quran dan sunah, mendalami ilmu secara bersungguh-sungguh dengan kefahaman dan iltizam supaya dapat menjalankan dakwah.

Allah menyeru manusia mendalami agama dalam firman bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi orang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk mendalami pengetahuan mengenai agama dan untuk memberi penjelasan dan kepada kaumnya apabila mereka sudah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjayakan dirinya.” (Surah al-Taubah, ayat 122)

Ulama juga amat berhati-hati dalam mengeluarkan segala hukum. Apa yang dinyatakan itu bukan mengikut pandangan sendiri dan bersikap mengiyakan segala yang dipelajari di Barat, sedangkan perkara itu tidak betul malah mahu dikatakan betul dengan mencari alasan dalam Islam kerana mereka sentiasa takut kepada Allah.
Sifat ini ditegaskan dalam firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah dikalangan hamba-Nya ialah ulama.” (Surah al-Fatin, ayat 28) Namun, kini ramai yang menganggap diri intelektual tapi tidak mendapat pendidikan agama secara menyeluruh. Mereka hanya mempelajari konsep dan asas utama tetapi cuba bercakap mengenai Islam dari semua aspek berkaitan hukum.

Ulama mencontohi Rasulullah SAW yang melihat al-Quran bukan dalam bentuk kata-kata asalnya saja, malah mengambil metodologi yang terkandung dalamnya prinsip dan bentuk kehidupan. Mereka tidak mengejar kemewahan dan ghairah dengan duniawi. Neraca mereka ialah ilmu yang betul dan tepat serta yakin dengan pertolongan Allah.

Ulama mempunyai kemahiran berkomunikasi, berbicara lebih berkesan dan mempunyai pekerti mulia serta mengamalkan amalan sunnah di samping perkara wajib bagi mencapai keseimbangan rohani dalam hidup serba mencabar. Ulama perlu memastikan perbuatannya selaras ilmu dimiliki. Firman Allah yang bermaksud: “Adakah kamu menyuruh manusia berbuat baik sedangkan kamu lupa diri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 44)

Peranan ulama ialah membina generasi Islam yang sedar dan mempunyai iltizam kepada tuntutan Islam. Mereka perlu mencontohi perjuangan rasul dan nabi yang tidak jemu melaksanakan tanggungjawab walaupun kebenaran dibawa ditolak oleh kaum sendiri. Umat perlu memahami Islam adalah ajaran yang diturunkan dari langit serta diajarkan Rasulullah SAW, bukan teori dan falsafah.

Ulama perlu menunjukkan teladan baik kerana jika diteliti perjalanan sejarah penyebaran Islam, individu tertentu tertarik memeluk Islam bukan kerana agama itu sendiri tetapi juga akhlak baik yang diperlihatkan pendakwahnya. Memupuk penghayatan ilmu perlu dalam masyarakat bagi membangunkan negara dan ummah.

Fahaman umat Islam kini banyak terpesong. Kewajipan memikul urusan khalifah dianggap amalan kurang baik serta tidak layak disertai ulama.

Umat seakan-akan terlupa Rasulullah SAW ialah negarawan yang menerajui kepemimpinan umat. Pembabitan Baginda dalam politik bukan saja disorot daripada kedudukannya sebagai ketua negara Islam yang berpusat di Madinah, tetapi juga dalam program dan rangka kerja Baginda sebagai Rasulullah SAW.

Peranan ulama bukan saja di masjid dan surau tapi meliputi dalam hal-ehwal politik dan sebagainya. Ulama pewaris nabi kerana mereka mempunyai ilmu luas mengenai Islam, akidah tujuan kerohanian, hukum Islam serta persoalan hidup yang tetap dan betul.

Budaya ilmu yang berkembang dalam tradisi Islam tidak memisahkan keperluan manusia terhadap pendidikan sepadu iaitu panduan akal, roh dan jasmani. Dalam teori pengetahuan Islam wujudnya konsep maratibul ulum yang meletakkan dasar pendidikan tidak terpisah daripada paksi tauhid. Justeru itulah lahirnya ulama.

Justeru, kita dituntut mencari ilmu walau ke negeri China. Pepatah itu walaupun tidak sesuai lagi masa kini, maksudnya memberi pengertian mendalam.

Dalam memajukan ummah, ulama sekarang terus memikul amanah untuk meneruskan perjuangan Islam.

Petikan Akhbar

Hala Tuju Pelajar Aliran Agama

Bagi pelajar yang meminati jurusan Pengajian Islam (termasuk perundangan, kewangan, akidah, kaunseling, syariah dan sunnah) pastinya peluang belajar di Universiti al- Azhar amat dinantikan. Namun bukan semua berpeluang apatah lagi apabila universiti Islam terulung ini membatalkan perjanjian dengan semua Kolej Islam di sini berkuat kuasa pada 22 April 2008. Pembatalan ini sekali gus menyebabkan Universiti al-Azhar tidak mengiktiraf lagi sijil serta diploma keluaran sekolah agama rakyat dan kolej Islam negeri. Hal ini adalah disebabkan Universiti al-Azhar berasa tidak puas hati pada tahap kualiti pelajar Malaysia. Prestasinya rendah hingga ramai yang gagal membawa pulang diploma atau ijazah dari sana walaupun tempoh pengajian sepatutnya sudah tamat. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, “Keputusan itu mendukacitakan namun kita perlu terima hakikat bahawa kajian yang dibuat Universiti al-Azhar menunjukkan rasa tidak puas hati kepada tahap pencapaian pelajar negara ini. Hal ini merujuk kepada kelemahan tahap penguasaan bahasa Arab hingga menjejaskan pembelajaran.”
Objektif Biasiswa AmanahRaya bagi Program Khusus Pelajar Malaysia Ke Universiti al-Azhar Mesir Dalam Bidang Pengajian Islam adalah untuk menyediakan ulama negara bertaraf dunia. Pengerusi AmanahRaya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad berkata, “Ulama yang berketerampilan ialah ulama yang benar-benar cemerlang dalam bidang pengajian Islam. Mereka perlu ada kepakaran untuk menjawab segala persoalan berhubung masyarakat Islam. Penyediaan ulama seumpama ini penting kerana kita sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap golongan yang mengaku dirinya ulama.” Menurut Dusuki, ramai mengaku dirinya ulama semata-mata kerana penampilan dan kepetahan berpidato tetapi bukan sebab ilmu dan akidahnya.
Dusuki berkata, ulama bukan sekadar mampu mentadbir di Jabatan Agama namun turut bijak mentadbir dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. AmanahRaya Berhad membiayai 20 pelajar cemerlang pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke Universiti al-Azhar, Mesir. Pelajar ini akan menduduki kelas Pra al-Azhar selama setahun sebelum menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk tempoh empat tahun.Kemudian pelajar yang benar-benar cemerlang akan diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam pengkhususan Pentadbiran Kewangan atau Perbankan Islam. Mohd Najib dan Dusuki ditemui pada Majlis Pelancaran Biasiswa AmanahRaya di Hotel Hilton Kuala Lumpur, 1 Ogos 2008.